TRANSKRIP PENUH TEMUBUAL BERSAMA PM DALAM RANCANGAN SOAL JAWAB TERBITAN TV3

TRANSKRIP PENUH TEMUBUAL BERSAMA PM DALAM RANCANGAN SOAL JAWAB TERBITAN TV3
   
KUALA LUMPUR, 21 Jan -- Berikut adalah transkrip penuh temubual bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3.
   
Rancangan selama sejam itu dihoskan Datuk Charon Mokhzani.
   
SOALAN: Bolehkah Datuk Seri hurai sedikit mengenai pencapaian dan prestasi ekonomi Malaysia?

JAWAPAN: Sepanjang tahun 2014 malah untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2014 pertumbuhan ekonomi Malaysia merupakan kadar pertumbuhan yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia.
   
Kita telah mengambil dasar-dasar atau pun melaksanakan dasar-dasar yang membawa keyakinan kepada pihak pelabur dari luar dan dalam negeri.
   
Tahun 2013 umpamanya kita telah mencatat kadar Foreign Direct Investment (FDI) yang tertinggi dalam sejarah Malaysia sebanyak RM38.2 bilion.
   
Kita lihat bahawa nilai pasaran bursa merupakan tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai pada 2014.
   
Jadi kita tengok indikator-indikatornya memberi kita kesimpulan, boleh membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kita berada di landasan yang betul.
   
Fundamental kita asas kita semakin lebih kukuh namun apa yang sesuatu yang kita tidak duga sama sekali ialah kejatuhan harga minyak secara begitu drastik inilah cabaran, inilah dugaan yang sedang kita hadapi.
   
SOALAN: Datuk Seri ramai yang tidak sangka harga minyak akan jatuh dengan begitu cepat dan begitu jauh kejatuhannya dan sekarang setelah harga minyak jatuh ramai yang tertanya-tanya kemampuan kerajaan memandangkan hasil daripada minyak "oil and gas" lebih kurang 30 peratus daripada pendapatan kerajaan apakah yang boleh kerajaan buat untuk menangani kejatuhan harga minyak?
   
JAWAPAN: Sebab itu saya telah mengambil keputusan untuk membuat perutusan khas pagi semalam, di mana saya telah menggariskan keadaan yang sebenarnya yang perlu kita fahami bahawa ini bukan satu krisis, malah ini bukan boleh disifatkan sebagai kegawatan sepertimana yang pernah kita alami dulu.
   
Keadaan ini adalah satu keadaan di mana kita perlu menyesuaikan, membuat penyesuaian perubahan kepada bajet negara kepada langkah-langkah fiskal dan mikro supaya kesan daripada kejatuhan harga minyak yang telah jatuh dengan mendadak sekali itu dapat kita tangani, supaya kita akan dapat kadar pertumbuhan yang agak masih boleh dikatakan masih baik atau pun masih menggalakkan dan yang paling penting sekali ialah usaha kita untuk membela rakyat meningkatkan kesejahteraan rakyat akan terus kita dapat laksanakan.
   
Saya telah terangkan bahawa setelah kita mengkaji segala-galanya kesan daripada kejatuhan harga minyak ini. Kesimpulannya yang kedua saya nak sebutkan selain daripada ini bukan merupakan krisis ekonomi ialah bahawa peruntukan untuk pembangunan negara lebih kurang RM48.5 bilion itu akan kita pertahankan, maknanya kita tidak akan kurangkan sama sekali.
   
Apa yang kita akan buat ialah penyesuaian dari segi operating expenditure (OE) atau pun perbelanjaan mengurus dan ini akan kita kurangkan sebanyak RM5.5 bilion supaya kita dapat menampung pengurangan hasil. Kita akan menerima kesan, pertama kesan dari segi pengurangan hasil tetapi kita jimat dari segi tak perlu lagi mengeluarkan subsidi untuk minyak dan diesel.
   
Tetapi kalau kita campur kedua-duanya bererti bahawa kita masih ada defisit dalam lebih kurang RM8.3 bilion ini kita akan tampung melalui tindakan-tindakan seperti yang saya sebutkan tadi mengurangkan OE dan menambahkan hasil negara melalui usaha-usaha tertentu yang saya telah umumkan semalam.

SOALAN: Datuk Seri maknanya harga minyak dah turun pendapatan kerajaan dah turun walaupun pendapatan itu sudah turun ada usaha-usaha yang telah diambil kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan dan juga mendapat hasil. Dari soal harga minyak ini tidak bolehkah kerajaan melakukan sesuatu dari segi harga minyak?
              
JAWAPAN: Kalau boleh kita akan buatlah, kalau negara yang lebih besar daripada kita juga tidak mampu misalnya negara Rusia lebih besar daripada negara kita, pengeluaran minyaknya sembilan ke sepuluh juta tong sehari, negara Rusia pun tidak boleh buat apa-apa, negara OPEC pun ambil keputusan tidak buat apa-apa masakan Malaysia yang merupakan pengeluar minyak yang kecil sebenarnya tentu sekali adalah luar daripada kemampuan kita.
   
SOALAN: Maknanya harga minyak ini adalah harga pasaran dunia?
   
JAWAPAN: Ini harga pasaran dunia yang luar daripada kawalan kita.
   
SOALAN: Datuk Seri ada juga yang menyatakan mereka risau mengenai company Malaysia kerana harga minyak telah turun, maka pendapatan Malaysia dan bukan sahaja kerajaan akan berkurangan, tetapi mengikut taklimat yang diberi Datuk Seri semalam, sebenarnya ini tidak benar yang pendapatan Malaysia akan berkurang?

JAWAPAN: Pendapatan kita akan berkurangan tetapi kita boleh tampung melalui pengurangan perbelanjaan yang saya sebutkan tadi, tambahan hasil kerajaan dan keputusan yang kita ambil untuk membuat satu reality check.

Reality check itu ialah dari segi sasaran defisit fiskal yang kita unjurkan tiga peratus untuk tahun 2015 ini berkurangan daripada 3.5 peratus pada tahun 2014 di mana sasaran tersebut telah dicapai oleh kita.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa tidak mungkin kita dapat mencapai tiga peratus sebab itu saya umumkan sasaran baru yakni 3.2 peratus.

Namun apa yang mustahak ialah bahawa trend itu ke arah pengurangan daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus. Meskipun tidak dapat mencapai unjuran asal kita namun kalau kita lihat pada jangka panjangnya sasaran kita ialah untuk mencapai balance budget (bajet berimbang) menjelang tahun 2020.
   
SOALAN: Sasaran bajet yang seimbang 2020 itu masih menjadi sasaran?
   
JAWAPAN: Masih menjadi sasaran lagi dan kita akan cuba sedaya-upaya untuk mencapai sasaran tersebut.

SOALAN: Dari segi imbangan perdangangan atau pun balance of trade Malaysia ialah satu negara mengeksport dan juga mengimport minyak, secara bersihnya Malaysia bukan negara yang mengimport minyak?
   
JAWAPAN: Ini kita mesti lihat keseluruhannya kalau kita ambil kira minyak crude oil yang dikeluarkan oleh Malaysia dan kita ambil crude oil yang kita import, kita masih merupakan negara surplus walaupun kecil.

Namun kalau kita ambil kira refined petroleum product dan kita campur kedua-dua sekali kita merupakan negara pengimport bersih.

Jadi sangkaan atau persepsi rakyat bahawa Malaysia merupakan negara pengeluar minyak yang surplus yang ada lebihan tidak tepat, keadaan sudah berubah namun kita masih net exporter yakni mengekport surplus lebihan kalau kita ambil kira LNG.

SOALAN: Jadi harga gas tidak akan turun sebanyak harga minyak mentah.

JAWAPAN: Tidak tetapi trendnya adalah menjadi lebih rendah lagi.

SOALAN: Dalam soal persepsi ini, Datuk Seri memang persepsi orang ramai dan boleh dikatakan pelabur asing juga Malaysia bergantung kepada harga minyak tetapi nampaknya tidak sebegitu bergantung kepada harga minyak yang menjadi persepsi?

JAWAPAN: Tidak, sebab kita telah buat langkah kepelbagaian sebenarnya untuk kita diversify our economy, pelbagaikan ekonomi kita sebagai sesuatu yang kita lakukan secara terancang. Pada tahun 2009, bila kita perkenalkan dasar transformasi negara ETP, GTP, kita telah tetapkan misalnya bidang Keberhasilan Utama Negara dan National Key Economic Area di mana melalui tumpuan-tumpuan fokus area itu kita telah dapat melihat bahawa ekonomi negara kita ini hari ini lebih diversify.

Kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan kepada kita kekuatan dalam erti kata kalau sesuatu luar daripada dugaan berlaku, misalnya kepada sektor minyak, luar daripada dugaan kita, kita dapat tampung melalui pertumbuhan dalam sektor-sektor yang lain.

Dari segi hasil umpamanya, kalau kita lihat misalnya pada tahun 2009 sumber minyak untuk hasil negara dalam lingkungan 40 peratus lebih kurang tetapi untuk tahun 2014 ia telah menurun kepada 26 peratus.

Jadi maknanya bukan sahaja dari segi aktiviti ekonomi tetapi dari segi kebergantungan kepada hasil negara telah dapat kita mempelbagaikannya dan sekarang ini kita terima banyak daripada sumber-sumber yang lain.

SOALAN: Maknanya ekonomi kita tidak lagi bergantung kepada minyak dan sumber pendapatan kerajaan juga tidak bergantung kesemuanya kepada minyak. 

JAWAPAN: Tidak tetapi sektor minyak ini masih merupakan satu sektor yang strategik kepada negara itu tidak dapat saya nafikan tetapi tahap kebergantungan telah dapat kita kurangkan.

SOALAN: Dari segi nilai matawang kita mendengar tadi bahawa nilai matawang ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika telah turun tetapi negara lain pun juga telah turun, negara Rusia teruk sekali kejatuhan nilai matawangnya tetapi apa kaitannya nilai matawang Malaysia dengan harga minyak.
  
JAWAPAN: ini merupakan reaksi market kepada kejatuhan harga minyak dan sentiment jadi bila mereka merasakan bahawa hasil negara akan berkurangan dan mungkin kadar pertumbuhan kita akan menurun, sedikit sebanyak akaun dagangan kita juga akan menerima tekanan maka akan berlaku juga penyusutan pada nilai mata wang kita.

Tetapi apa yang penting ialah kita mesti sedar bahawa penyusutan ini tidak bererti ia menolak bahawa kita mempunyai asas atau fundamental yang penting, jangan react kepada keadaan jangka pendek tetapi terus memberi tumpuan kepada "our strong fundamental".

Lambat laun kalau fundamental kita ini kukuh dan kita dapat mantapkan lagi, misalnya kita dapat kurangkan fiskal defisit kita umpamanya, kita dapat terus menarik pelaburan dari luar dan sebaginya, kita akan melihat bahawa nilai mata wang kita akan melalui proses adjustment mengikut kepada fundamental dan sentimen yang saya percaya akan menjadi lebih positif.

SOALAN: Dari segi fundemental ekonomi Malaysia masih kukuh biarpun harga minyak turun dan nilai mata wang telah turun sebegitu banyak pada pendapat Datuk Seri apakah nilai sepatutnya?

JAWAPAN; Itu tidak boleh saya katakan sebab ini ditentukan oleh pasaran dan kita tidak boleh melihat dari segi spekulatif ini bukan tugas kerajaan tugas kerajaan ialah untuk memberi tumpuan kepada asas atau pun fundemental dan fundemental inilah yang insya-Allah kita akan terus perkukuhkan.

SOALAN: Jika nilai mata wang ringgit turun apakah ini bermakna kos sara hidup akan meningkat?

JAWAPAN: Kita telah mengkaji perkara ini dengan mendalam dan kita membuat unjuran untuk tahun ini inflasi akan menurun kita jangkakan inflasi dalam lingkungan 2.5 hingga 3.5 peratus termasuk juga waktu kita melaksanakan GST. Salah satu sebab ialah pengurangan harga minyak yakni RON 97, RON 95 dan diesel dan apabila kita ambil kira pengurangan ini bererti bahawa pengguna di Malaysia akan dapat disposable income yang lebih maka ini akan membantu mereka dari segi kemampuan mereka untuk membeli dengan nilai yang lebih besar lagi.

Jadiannya bila kita sebut GST kita laksanakan pada 1 April ini maka inilah masa yang terbaik sekali sebenarnya bila kadar inflasi agak rendah dan apabila negara memerlukan hasil tambahan maknanya bila kita lihat dalam keadaan harga minyak menjunam kita perlu tampung daripada sumber-sumber yang lain.

Satu daripada sumber ialah GST kerana GST akan beri kita pendapatan  yang lebih berasaskan kepada "broad-based income tax" jadi pada hemat saya ini membuktikan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah kena pada tempat dan kena masanya.

SOALAN: Dari segi GST, ada yang menyatakan bahawa boleh jadi patut ditunda ke tahun lain?

JAWAPAN: Sebaliknya saya dan kerajaan berpendapat inilah masa terbaik untuk memperkenalkan GST tentu sekali sepertimana kita selalu sebut lebih 160 buah negara telah pun melaksanakan GST, yang kedua kita punya income, kita punya pihak yang membayar cukai, cuma satu (seorang) daripada 12 yang membayar cukai pendapatan. Ini bererti bahawa tax base kita terlalu sempit, bila tax base kita tidak menyeluruh sifatnya bererti bahawa hasil negara akan terancam dan terjejas dan bila hasil negara terjejas kita akan mengalami keadaan di mana mungkin defisit negara akan bertambah.

Mungkin kita terpaksa menambah hutang untuk perbelanjaan dan sebaginya tetapi kalau hasil kita terus bertambah ekonomi kita akan lebih kukuh dan bila ekonomi kita lebih kukuh dalam keadaan yang luar daripada dugaan, kita akan lebih bersedia untuk menanganinya.

SOALAN: Dari segi penurunan harga, adakah kerajaan akan membuat sesuatu supaya harga akan turun sebab kadang-kadang bila harga minyak naik 10 sen barang akan naik 10 sen tetapi bila harga minyak turun 10 sen tetapi di sini 40 sen harga barang tetap tidak turun? 

JAWAPAN: Betul, soal ini soal pihak yang terlibat dalam supply chain sebenarnya. Mereka ini tidak mengambil keputusan untuk mengurangkan harga kalau sekiranya kos mereka berkurangan seperti harga minyak menurun tetapi kalau harga minyak naik cepat mereka menaikkan harga. Ini menjadi satu hambatan kepada ekonomi negara terutama sekali dari segi kesan kepada pengguna.

Sebab itulah apa yang kita perlu ialah penguatkuasaan yang lebih berkesan dan juga pengguna yang lebih berhemah lagi yang tahu membuat penilaian yang tidak akan membeli misalnya daripada kedai-kedai yang tidak mengurangkan harga ataupun mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna sebaliknya mereka pilih tempat di mana mereka akan dapat orang kata harga yang adil fair priceses.

Soalan: Dari soal eksport satu perkara yang disebut Datuk Seri dalam perutusan khas semalam ialah Malaysia patut mengeksport lebih dan kali ini Malaysia menjadi pengerusi AEC dan juga Komuniti Asean, Asean Economic Community dan juga ada perjanjian perdagangan lain yang Malaysia sedang hadapi misalannya TPPA, apakah kaitannya AEC ASEAN dengan dengan eksport?     

JAWAPAN: AEC, ASean Economic Community ini merupakan satu model "regional intergration" di mana kita akan melihat pada satu pasaran di mana tarif kita kurangkan kebanyakan itu kepada zero tarif ataupun hampir zero dan kita boleh melihat pada pasaran dengan single market dengan single production base, bererti bahawa kita mesti sekarang ini melihat bukan sahaja domestik market tetapi juga Asean sebagai pasaran kita.

Sebab itulah dalam perutusan saya semalam saya katakan bahawa kita mesti melihat dan berani mengambil langkah secara positif untuk mengeksport barangan kita ke negara-negara Asean sebab inilah peluang bagi kita untuk mendapat pasaran yang lebih besar hampir 600 juta manusia dan ini merupakan satu peluang keemasan bagi kita.

Saya harap semua enterprise besar termasuk PKS juga supaya lebih agresif lagi untuk menjadi pengeskport di kalangan Asean sebagai satu economic komuniti.

Kalau sebut tentang TPP ia merupakan satu bentuk regional intergration yang melihat pada market access tetapi TPP ini ada lagi peruntukan-peruntukan tertentu yang mana kita belum lagi boleh menerima sebab itulah pendirian kita, kita nak TPP tapi TPP yang  berdasarkan kepada terma kita base on "our terms and conditions".

SOALAN: Mengenai KDNK di dalam perutusan Datuk Seri semalam disebut bahawa kalau dulu dianggarkan di antara lima dan enam peratus tetapi sekarang telah ditukar kepada 4.5, kepada 5.5 peratus apakah sebab itu?

JAWAPAN: Sebab antaranya ialah kesan daripada kejatuhah harga minyak dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu bila keadaan pertumbuhan global growth telah dikaji semula oleh World Bank dan IMF menetapkan kadar yang lebih rendah kita lihat ekonomi dunia yang terbesar seperti negara China pun dijangka akan pertumbuhannya mencapai diantara 7.4 peratus.

Walaupun tinggi kepada kebanyakan negara tetapi kepada China dianggap sebagai slow down walaupun mencapai 7.4 peratus jadi dengan senario seperti ini maka kita terpaksa mengkaji semula kalau China menjadi rakan dagangan kita yang terbesar kalau China mengalami economic slow down kemampuan mereka untuk membeli eksport kita akan berkurangan.

SOALAN: Slow down itu di China pertumbuhannya sekarang 7.4 peratus dan bukan 8 peratus tetapi dari segi rakyat Malaysia, dari segi pekerja-pekerja di Malaysia, apakah slow down ini bermakna mereka akan mendapat pendapatan yang lebih rendah oleh kerana ekonomi tidak seberapa?

JAWAPAN: Tidak saya tidak fikir akan berlaku retrenchment, pengurangan pekerja atau pun pendapatan mereka akan berkurangan tetapi ini mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit bererti bahawa mungkin kalau dari segi perniagaan ataupun dari segi jumlah pekerjaan baharu yang ditawarkan mungkin ada sedikit pengurangan tetapi bukan bererti bahawa kita mengalami krisis ataupun kegawatan dan bilangan pekerjaan tetap bertambah cuma kadar pertumbuhannya itu nanti mungkin ada sedikit sebanyak kesan daripada pengurangan pertumbuhan ekonomi global.

SOALAN: Datuk Seri, 1MDB banyak cerita mengenai 1MDB keluar di dalam media massa, bolehkan Datuk Seri memberi sedikit ulasan mengenai 1MDB

JAWAPAN: 1MDB merupakan satu investment company kerajaan untuk menambahkan lagi "strategic investment" untuk Malaysia termasuk juga rakan-rakan dari luar negara. Ramai yang tak sedar bahawa kerajaan hanya menyumbang 1 juta sahaja dari segi saham, modalnya cuma 1 juta, tetapi hari ini 1MDB mempunyai aset melebihi RM50 bilion. Di samping itu memang mereka mempunyai hutang yang agak besar tetapi hutang itu kalau kita kira aset dengan liabiliti, aset melebihi liabiliti, itu perlu kita sedar.

Yang kedua ialah kita memang ada perancangan untuk memantapkan lagi 1MDB misalnya perancangan kita untuk menerbitkan IPO dan sebagainya. Bila IPO diterbitkan nanti dalam keadaan pasaran yang mudah-mudahan pasaran yang positif, sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam energy company yang dimiliki 1MDB.

Di samping itu 1MDB ada tanah yang besar yakni Bandar Malaysia seluas 550 ekar dalam tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Nilainya besar, begitu juga TRX yang kita nak buat pusat kewangan yang baru, itu pun merupakan nilai yang besar. Kalau kita dapat merealisasikan aset-aset ini sudah tentu ia akan memberi nilai pulangan yang besar.

Saya masih yakin dengan lembaga pengarah, dengan kepimpinan yang ada, lebih lagi yang baru dalam 1MDB bahawa jangka panjang 1MDB akan memberi banyak manfaat kepada negara kita.

SOALAN: Sebelum kita berehat, boleh saya bertanya sedikit keadaan banjir di pantai timur dan apa yang boleh dibuat oleh kerajaan?

JAWAPAN: Keadaan banjir yang menimpa negeri-negeri pantai timur kali ini memang begitu serius dan amat membebankan rakyat. Saya berasa sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir pada kali ini lebih dasyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.

Justeru, kerajaan akan mengambil langkah-langkah membantu mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai, kita dah umumkan kadarnya tapi lebih daripada itu mereka memerlukan kalau rumah mereka dah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baru untuk mereka.

Kita sedang merumuskan bentuk rumah baru ini dan Insyaallah pada 29 haribulan ini nanti, saya dijadual melancarkan program pembinaan rumah di Kuala Krai negeri Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baru yang kita akan laksanakan nanti.

Di samping itu macam-macam bantuan disalurkan oleh kerajaan oleh sektor swasta, GLC dan sebagainya, orang-orang perseorangan dan sebagainya kita lihat bahawa memang ramai yang nak membantu mangsa-mangsa banjir tapi satu yang tidak dapat dinafikan bahawa kos dari segi kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, hospital, masjid, balai raya dan sebagainya, jalan, jambatan kalau kita hitungkan semua, setakat ini taksiran kita ialah sebanyak 2.9 bilion ringgit. Itu merupakan kerugian yang besar.

SOALAN: Boleh kita berbincang sedikit mengenai apa yang terjadi di Paris, bolehkah perkara sebegitu terjadi di tanahair? Apa yang boleh kita mempelajari dari insiden itu?

JAWAPAN: Tidak mustahil sebab kita telah dapat kesan pada masa ini mengikut pada apa yang kita ketahui, terdapat 39 orang rakyat Malaysia yang telah memasuki IS, ISIS ataupun ISIL di Syria dan Iraq dan di Malaysia pun kita dah tangkap beberapa orang yang dah ditahan kerana mereka disyaki terlibat dalam kegiatan militan. Sudah pun disahkan dua orang rakyat Malaysia yang telah menjadi pengebom mati atau suicide bomber dan mereka telah mengakibatkan ramai yang lain yang terkorban.

Dalam keadaan sedemikian maka kerajaan pada akhir tahun sudah, mengambil keputusan untuk membentangkan satu kertas putih di dewan Parlimen memaklumkan pada Parlimen dan rakyat bahawa ini merupakan satu ancaman yang serius. Sebab itulah bila kita sudah katakan kita sudah tentukan bahawa ini satu ancaman yang serius, maka kita kena lihat apa yang boleh dan patut kita lakukan antaranya kita mesti ada undang-undang baru dan undang-undang sedia ada diperkukuhkan.

Undang-undang baru anti keganasan akan kita bentangkan pada bulan Mac akan datang di dewan Parlimen untuk memberi kita kuasa yang lebih untuk menangani ancaman seperti ini. Yang pokok pada saya ialah untuk buat sesuatu sebelum sesuatu kejadian itu berlaku. Misalnya di Sydney dan Paris, ia sudah berlaku, baru mereka boleh bertindak tetapi apa yang kita hendak ialah kuasa untuk melakukan sesuatu, menghalang sesuatu bentuk tindakan keganasan berlaku. Inilah yang kita perlu lakukan. Perkara-perkara lain yang patut kita lakukan ialah untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang apa dia Islam yang sebenarnya, konsep Islam umpamanya, pengertian jihad yang sebenarnya untuk difahami, dihayati oleh rakyat Malaysia dan aspek-aspek yang lain yang boleh memberi panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan propaganda IS ini.

Kita juga mesti ambil tindakan supaya ada rasa saling hormat menghormati antara kaum dan antara agama dalam negara kita. Antaranya kita mesti memahami sensitiviti antara agama supaya kita tidak buat sesuatu yang boleh menghina atau pun boleh menimbulkan kemarahan mana-mana penganut agama. Sebab itulah dalam konsep kebebasan, saya mengajukan kebebasan yang tidak ada had atau mutlak tidak sesuai sebaliknya kita mesti ada kebebasan tetapi kebebasan yang ada batasnya supaya kita tidak membuat sesuatu dari segi perbuatan, dari segi percakapan kita yang menghina agama lain. Bukan sahaja agama Islam tetapi agama lain juga. Bila kita faham perkara ini saya percaya bahawa kita boleh mengelak daripada mereka yang akan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

SOALAN: Soal kebebasan ini di negara-negara barat mereka kata orang ramai patut ada kebebasan untuk bersuara tanpa batas sebagaimana di Perancis. Mereka kata kebebasan untuk menghina agama lain dan menghina orang lain tetapi itu yang dipercayai di barat, tetapi di Malaysia, kebebasan apakah yang patut kita ada? Semamangnya kita tidak patut menghina agama lain tetapi dalam soal lain daripada menghina agama, adakah kebebasan itu perlu diberi kepada rakyat Malaysia?

JAWAPAN: Ini timbul satu persoalan yang besar apakah semua yang difahami, dianuti di negara-negara barat itu baik sekali ataupun wajar dijadikan contoh ikutan bagi kita ataupun sebaliknya. Kita harus memikirkan apa bentuk cara pemerintahan dan apa bentuk undang-undang serta nilai-nilai yang paling sesuai untuk kita. Sebab matlamatnya pada saya ialah untuk menjaga keamanan dan keharmonian serta kestabilan negara kita. Kalau berlaku sesuatu dalam negara kita, maka ia adalah serius.

Bagi sesetengah negara itu mereka tidak ada perbezaan kaum, sesuatu yang berlaku tidak jadi satu bentuk konflik perkauman, tidak berbentuk racial in nature tapi Malaysia, kalau sesuatu berlaku dia cepat jadi berbaur racial dan ini boleh mencetuskan konflik antara kaum. Sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan umpamanya sebab Akta Hasutan ini bukan untuk orang Islam, orang Melayu sahaja, untuk semua dan saya yakin kemungkinan besar Akta Hasutan ini melindungi mereka yang bukan beragama Islam juga sebab kalau berlaku konflik antara kaum biasanya kumpulan minoriti yang jadi mangsa.

Jadi kita mesti pastikan tak berlaku apa-apa perbalahan secara serius antara kaum dalam negara kita. Ini komitmen kerajaan dan saya nak tegaskan sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia.

Itu dia yang sentiasa menjadi perhatian saya, bukan pada mana-mana pihak di luar negara. Untuk rakyat Malaysia saya akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

SOALAN: Kalau mengikut akhbar di barat yang menceritakan tentang apa yang terjadi di Perancis dan Sydney dan soalannya berbalik semula kepada hak bersuara dan seperti yang Datuk Seri terangkan tadi. Di sini hak bersuara mesti ada batasannya kalau tidak boleh jadi merbahaya tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbahas mengenai perkara lain atau adakah rakyat Malaysia boleh bersuara mengenai perkara-perkara lain yang tidak kena mengena dengan agama?

JAWAPAN: Ya boleh. Banyak perkara. Mereka bebas mengkritik kerajaan umpamanya. Kalau kita tengok pada social media banyak yang membuat komen-komen yang negatif terhadap kerajaan. Bererti bahawa kebebasan di Malaysia ini masih berlaku secara terbuka, demokrasi masih berjalan secara sihat. Nak membuat ucapan mana tempat pun asalkan dapat kebenaran dan sebagainya, tidak jadi masalah. Jadi siapa kata tidak ada demokrasi di Malaysia? Jadi Malaysia ini merupakan satu negara yang mengamalkan demokrasi tetapi jangan sampai kebebasan mutlak itu menjadikan kita melakukan sesuatu yang akhirnya menimbulkan konflik dalam negara kita.

SOALAN: Datuk Seri menyebut tadi mengenai ISIS, lebih kurang 40 orang Malaysia telah masuk ISIS. Adakah ini satu minoriti orang Malaysia yang sanggup pergi ke Syria masuk ISIS atau adakah ini satu masalah yang lebih besar dari itu?

JAWAPAN: Ia masih merupakan kumpulan kecil dalam negara kita tetapi ia walaupun kecil kita jangan biarkan ia menjadi macam api dalam sekam. Dan dalam keadaan yang kita lihat walaupun kumpulan kecil tetapi boleh melakukan tindakan dalam bentuk keganasan yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh dan harta benda musnah seperti mana kita lihat di Paris baru-baru ini.

Walaupun yang bertindak itu cuma tiga orang sahaja tetapi kesan daripadanya adalah besar, jadi kita pernah dengar istilah lone wolf misalnya, itu pun kalau seorang melakukan sesuatu dalam bentuk keganasan kesannya buruk sekali kepada negara kita, pada rasa keyakinan, mungkin rakyat akan merasai kebimbangan, sentimen terhadap Malaysia berubah dari luar umpamanya. Ini kesan yang cukup buruk pada negara kita, jadi macam mana pun kita selalu sebut Malaysia ini merupakan sebuah negara yang aman, sebuah negara yang harmoni, inilah imej yang kita mesti pelihara, kita mesti pertahankan.

SOALAN: Anggapan dunia luar terhadap Malaysia dari segi ekonomi pun memang ada kesannya, Datuk Seri, kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi, telah berbincang mengenai masalah ISIS dan kebebasan bersuara adakah ada perkara lain yang Datuk Seri ingin mengutarakan?

JAWAPAN: Saya lihat bahawa kita jangan hilang arah dan fokus kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersama-sama sebab bila kita sebut kita bercita-cita hendak Malaysia sebagai sebuah negara advance economy, negara maju menjelang tahun 2020, ini merupakan satu shared vision bukan sahaja visi kerajaan tetapi mesti dikongsi bersama oleh segenap lapisan malah semua individu, semua rakyat Malaysia perlu berkongsi bersama untuk merealisasikan visi ataupun impian tersebut.

Dan inilah apa yang saya kata apa yang berlaku dalam jangka pendek, short term adjustment ini tidak bererti kita lari daripada objektif jangka panjang. Kita telah tentukan landasan dan landasannya saya yakin adalah landasan yang benar cuma dalam perjalanan ini kadang-kadang kita kena buat perubahan sedikit dalam perjalanan kita. Seperti mana kita pandu kereta kalau ada sesuatu yang terjatuh depan kereta, kita elak daripada kita buat adjustment sebagai pemandu, kita buat adjustment tetapi kita mesti sedar bahawa destinasi kita itu kita jangan hilang dari segi panduan kita untuk macam mana pun destinasi, matlamat, objektif itu mesti kita capai.

SOALAN: Untuk mengulas kembali pada mulanya, Datuk Seri kata walaupun harga minyak telah jatuh, nilai ringgit telah turun tetapi ini bukan satu krisis, ini bukan gawat, tetapi pada saya, saya harap Datuk Seri bersetuju bahawa rakyat Malaysia mestilah berjaga-jaga pasal keadaan ekonomi global bukan sesuatu yang boleh di forecast atau senang diketahui. Harga minyak tidak tahu ke mana harga minyak akan pergi. Apakah advise atau pesanan kepada rakyat Malaysia dalam tahun 2015 dan dalam keadaan ekonomi global yang tidak boleh dijangkakan.

JAWAPAN: Sebagai rakyat Malaysia kita kena bertindak secara berhemah. Kalau kita ini sebagai pengguna umpamanya buatlah keputusan sebagai pengguna yang bijak. Umpamanya, kalau kita boleh jimat belanja, mungkin jimatlah perbelanjaan kita dan kalau kita boleh beli daripada sumber yang beri nilai yang lebih kepada kita, value yang lebih, buatlah keputusan yang sedemikian supaya kita akan dapat menentukan apa juga pendapatan yang ada pada hari ini ianya akan dapat kita gunakan dengan manfaat yang besar dan semaksimum yang mungkin.

Dan saya juga berharap rakyat Malaysia ini atas ikatan kita berpegang pada pendirian moderation, wasatiyyah, kesederhanaan; balance, berimbang dan kecemerlangan. Ketiga-tiga unsur ini maknanya bila kita sebut moderation, sederhana bukan bererti sederhana dari segi pencapaian. Tidak. Sederhana bererti bahawa kita ini seimbang, balance dan juga disamping itu kita tetap merupakan seorang insan yang inginkan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Terima kasih Datuk Seri

Comments

Popular posts from this blog

Pelepasan cukai tambahan untuk pembelian alatan sukan, sewaan fasiliti sukan antara cadangan untuk Bajet 2024

Papa win, papa win.

From 'Mr P' to 'Kemelut Dalaman BAM': Four chapters of 'mesej Whatsapp layang'