Reezal Merican: Penentuan tarikh PRU haruslah strategik


Kenyataan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican - Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno

1. Kita tahu ada suara yang telah meminta YAB Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

2. Bahkan, kita boleh tanya sesiapa sahaja pun, baik ahli UMNO atau MKT atau barisan Jemaah Menteri hatta rakyat di luar sana pun, mereka juga mahukan satu Pilihanraya Umum (PRU) diadakan bagi membolehkan Parlimen mendapat mandat baharu.

3. Pertama, saya tak perlu berselindung yang kita, pada ketika ini, benar-benar mahu satu mandat yang dapat menzahirkan aspirasi rakyat secara jelas selepas naratif politik negara kita berubah 360 darjah pasca PRU-14. Sebagai ahli sebuah parti yang rebah selepas 60 tahun mentadbir, sudah pasti saya mahu UMNO dan Barisan Nasional yang kini kembali kukuh, terus menjadi teras pentadbiran Kerajaan di peringkat Pusat dan juga negeri.

4. Saya yakin, selepas apa sahaja yang berlaku pasca PRU-14, UMNO dan Barisan Nasional sudah mula adapt and adopt perubahan-perubahan yang berlaku. Sebab itu, dalam kekusutan politik yang berlaku akibat kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan, UMNO dan BN ambil pendekatan yang yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini, iaitu pendekatan pentadbiran merentas gabungan politik untuk menstabilkan Kerajaan. 

5. Kalau tidak, kita mungkin terpaksa mengadakan PRU-15 jauh lebih awal dalam keadaan kita tidak bersedia dan negara dihambat pandemik COVID-19 ketika itu. Rakyat pasti marah dan tidak akan memaafkan kita.

6. Kedua, bertitik tolak daripada itu, pada masa ini, UMNO ditakdirkan Allah, meskipun kalah PRU-14, menjadi teraju Kerajaan. Alhamdulillah. Satu lagi perkara yang kita pun tidak terbayangkan boleh terjadi.

7. Jadi sudah pastinya kita akan mula mencongak, bilakah PRU-15 boleh dilakukan? Kita sudah buktikan bahawa 7 daripada 12 PRK yang diadakan selepas PRU-14 dimenangi oleh BN. Begitu juga sokongan yang kita terima di Sabah, kemenangan besar di Melaka dan hadiah kemenangan 40 kerusi di Johor.

8. Semua ini adalah faktor-faktor yang dibawa dalam equation and calculation kita ke arah PRU-15. 

9. Malah kita juga sudah berada di Penggal Kelima, Parlimen ke-14 yang baru dibuka minggu lalu.

10. Bak kata orang, nak tunggu apa lagi?

11. Sokongan telah ada, kestabilan dapat kita wujudkan, COVID-19 pun kita dapat urus dengan baik, ekonomi dan pelaburan negara semakin bertambah baik,…kita pun akan masuk ke fasa peralihan ke endemik tidak lama lagi. Sempadan negara juga akan dibuka. 

12. Ini semua merupakan faktor-faktor yang jelas dan rakyat dapat lihat. Rakyat dapat rasa. Rakyat dapat lihat perubahan yang dibawa oleh kepimpinan Kerajaan yang diterajui oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri daripada UMNO.

13. Malah di bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Ismail Sabri juga kita dapat lihat satu MoU di antara Kerajaan dan Pembangkang dimeterai. 

14. Rakyat dapat lihat bahawa kepimpinan pada ketika ini ada rentak pengalaman yang membolehkan kita wujudkan semula kestabilan. 

15. Cuma bagi saya, satu sahaja perkara yang perlu kita bincang sedalamnya iaitu soal bila,…soal timing. 

16. Salah satu daripada strategi Sun Tzu yang biasa menjadi rujukan dalam merencana strategi ialah soal ketepatan masa dan waktu untuk turun berentap di medan pertarungan. 

17. Dalam Bahasa Inggeris disebutkan, "He will win who knows when to fight and not to fight".

18. Menyusun strategi kemenangan tidak boleh berasaskan seluruhnya kepada gempita emosi. Kebijaksanaan pemimpin dilurutkan ke meja perbincangan dan bermuafakat untuk menggilap asas kekuatan sebenar.

19. Kita di dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional ini ada kaedah dan cara tersendiri serta berpegang kepada disiplin parti. Keputusan untuk perkara sepenting ini, kita tidak boleh bincang di sebarang tempat. Kepimpinan parti dan YAB Perdana Menteri perlu duduk bersama untuk membincangkannya.

20. Ini kerana, kita perlu akui bahawa hanya YAB Perdana Menteri mempunyai kuasa perlembagaan, constitutional power untuk menasihati YDPA supaya Parlimen dibubarkan. Tidak ada orang lain. 

21. Namun, untuk YAB Perdana Menteri memohon sembah menghadap KDYMM Tuanku, sudah pastinya ia perlu dirundingi sedalam-dalamnya dengan kepimpinan parti, MKT dan Dewan Tertinggi BN.

22. Dan,…pertimbangan dalam menentukan masa, timing ini, kita harus mengambil kira dua perkara iaitu persediaan parti dan delivery Kerajaan pada hari ini.

23. Ia harus dilihat bersama, in tandem. Both equally important. 

24. Jentera parti mesti dalam kesiapsiagaan yang maksimum,…dan ikhtiar-ikhtiar kita, deliverables kita dalam Kerajaan, telah sampai kepada rakyat.

25. Peratusan keluar mengundi sewaktu PRN Melaka (65.85 %) dan PRN Johor (54.92 %) wajar dilihat dalam konteks yang lebih strategik. Ramai juga ahli akademik yang menyebut istilah "political fatigue". 

26. Kelelahan politik ini, andai dijolok lagi dengan PRU dalam sengga masa yang tidak selesa, dikhuatiri boleh menatijahkan keputusan yang berbeza. 

27. Sebab itu saya kata timing itu penting. It must be right.

28. Pertambahan pengundi hampir sebanyak 7 juta dalam PRU-15 juga mesti diurus dengan baik oleh SPR. Kita tidak meremehkan sikap profesional SPR. Namun, PRU dalam landskap baharu memerlukan persediaan jauh lebih rapi. Segala ruang dan sistem pilihanraya perlu efisien, kemas dan dalam keadaan terbaik. 

29. Sebab itulah, penentuan tarikh PRU haruslah strategik. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala angkubah yang ada wajar dipastikan mantap dan padu. 

30. Ekonomi diletak pada landasan pemulihan, poket rakyat terisi, kesihatan awam terpelihara, kemampuan dan wibawa kerajaan di tahap yang terbaik. Ini semua memerlukan penelitian. Keputusan YAB Perdana Menteri perlu juga didokong seutuhnya oleh segenap kekuatan jentera parti.

31. Kemenangan BN sememangnya wajar dirai dan dihayati, bahkan perlu dilorong supaya kekal, membugar dokongan rakyat terhadap parti sehingga tarikhnya nanti.

32. Kemenangan yang ditanggapi dengan sikap tawadduk, rendah diri dan penuh rasa insaf akan lebih dihormati. Ia tidak pernah menjadi usaha individu - malah diperkukuh keringat dan kesungguhan setiap seorang pendokong parti yang setia.

33. Jadi, saya sebagai ahli parti meminta semua pihak di semua peringkat supaya kita berikan ruang, mandat dan kepercayaan kepada YAB Perdana Menteri dan pucuk pimpinan untuk berbincang sebaiknya dalam menentukan, timing yang tepat untuk kita berpencak dalam PRU-15.

Comments

Popular posts from this blog

From 'Mr P' to 'Kemelut Dalaman BAM': Four chapters of 'mesej Whatsapp layang'

Pelepasan cukai tambahan untuk pembelian alatan sukan, sewaan fasiliti sukan antara cadangan untuk Bajet 2024

Ramlan saga - Part 3