Norza Zakaria tokoh kepimpinan sukan Anugerah SAM-100Plus 2022

Siaran media

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.

“Tan Sri Norza menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan badan sukan kebangsaan. Bakat kepimpinan yang dimiliki beliau tidak dapat disangkal lagi. 

“Kami berharap dengan anugerah ini, akan memberikan motivasi kepada Tan Sri Norza untuk terus berusaha memartabatkan badan sukan di negara ini,” kata Naib Presiden SAM, Hazreen Mubarak. 

Norza menggalas jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berundur kerana faktor kesihatan.

Pencapaian terbaik beliau bersama BAM adalah menamatkan penantian Malaysia untuk muncul juara di Kejohanan Dunia 2022 menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain tiga pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Inisiatif beliau memperkenalkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) dan penilaian berdasarkan merit ke atas pemain senior, menyaksikan kemunculan bakat muda seperti Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan M. Thinaah-Pearly Tan.

Beliau juga memperkenalkan Liga Junior AirAsia-BAM yang menyaksikan penyertaan tahunan lebih 4,000 pelajar dari 280 buah sekolah.

Pada 2018, beliau dilantik Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggantikan Tunku Tan Sri Imran Jaafar dan turut memegang jawatan Presiden Majlis Sukan Komanwel Malaysia serta pernah menggalas jawatan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN). Beliau turut menjawat jawatan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Kelab Polo Putra.

Tokoh sukan itu juga mengetuai kontinjen Malaysia membawa pulang 62 pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, iaitu pencapaian terbesar Malaysia dalam temasya dwitahunan itu di luar Malaysia.

Menerajui MOM, Norza memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya kriteria pemilihan MOM yang telus untuk atlet ke temasya sukan, penjanaan semula Suruhanjaya Atlet MOM (AC) termasuk pemberian geran dan penyertaan wakil AC dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, menyemak dan merombak perlembagaan MOM serta penciptaan pangkalan data komprehensif mengandungi maklumat atlet dan pegawai yang telah menyertai temasya sukan.

Kepimpinan Norza tidak terhad di peringkat kebangsaan sahaja, malah turut membuka mata ‘pihak luar’ apabila diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA) selain dipilih sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BAC) dan kedua dua jawatan itu bagi penggal 2023 hingga 2027.

Ia satu penghargaan buat BAM memandangkan  Norza menjadi individu pertama dari Malaysia untuk mengisi kerusi tersebut dan dia akan melaksanakan tugas itu sehingga 2027.

Pelantikan Norza sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia juga berdasarkan pengalaman yang dimiliki dalam urus tadbir persatuan badminton, Fasal 13.2 yang mempunyai pengetahuan selain mencapai status tertentu supaya mampu memberikan sokongan dan impak positif kepada badan induk badminton Asia.

Comments

Popular posts from this blog

Tickets for Kuala Lumpur Masters Malaysia Super 100 2023 now available

Pelepasan cukai tambahan untuk pembelian alatan sukan, sewaan fasiliti sukan antara cadangan untuk Bajet 2024

From 'Mr P' to 'Kemelut Dalaman BAM': Four chapters of 'mesej Whatsapp layang'