Hakim Danish atlet muda terbaik, MAKAF diiktiraf persatuan sukan dinamik anugerah SAM-100PLUS 2022

SIARAN MEDIA


Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli dipilih oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik Anugerah SAM-100Plus 2022.

Pemilihannya adalah berdasarkan aksi yang konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai pelumba motosikal berusia 16 tahun itu sepanjang tahun 2022.

Naib Presiden SAM Hazreen Mubarak berkata kejayaan Muhammad Hakim Danish bergelar juara keseluruhan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 di Mandalika Street Circuit di Lombok Indonesia menjadi faktor utama pemilihan sebagai penerima anugerah ini.

Kejayaan itu juga menyaksikan Muhammad Hakim Danish muncul rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan sejak saingan perlumbaan itu diperkenalkan pada tahun 2014.

Pelumba berusia 16 tahun itu untuk mengesahkan kejuaraannya sejurus unggul mengumpul keseluruhan 187 mata untuk mengatasi pelumba Jepun, Shinya Ezawa yang mengutip 177 mata.

“Prestasi membanggakan pada ATC 2022 menjadi faktor utama kepada pemilihannya untuk menerima Anugerah Atlet Muda Terbaik Anugerah SAM-100Plus 2022.

“Dalam usia yang masih muda, Hakim Danish mempunyai masa yang panjang untuk terus menyerlah sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan permotoran dunia.

“Kami di SAM berharap kecemerlangan yang ditonjolkan akan menjadi inspirasi kepada pelumba muda lain untuk bekerja lebih keras demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Muhammad Hakim Danish akan menerima anugerah berkenaan pada majlis gilang-gemilang yang akan diadakan di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 29 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dijadual hadir pada majlis tersebut.

Tiada siapa menyangka, pelumba kelahiran Terengganu yang menceburi sukan permotoran ‘pocket bike’ sejak berusia tujuh tahun itu, melalui episod sukar sebelum mengukir nama sebagai antara pelumba meningkat naik di Malaysia.

Kejayaan yang diraih Muhammad Hakim Danish tidak mudah kerana bapanya yang menjana pendapatan hasil pekerjaan sebagai mekanik motosikal pernah dihimpit masalah kewangan demi memastikan anaknya kekal memburu impian.

Dengan motosikal hasil pemberian rakan bapanya Muhammad Hakim Danish terus melakar kemenangan demi kemenangan setiap kali turun berlumba yang mendorong bapanya mencuba nasib pada sesi ujian untuk menyertai pasukan ZK Racing sebelum muncul juara dalam saingan SIC MiniGP pada 2020.

Faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang diraih dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan karate memboleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik, Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) -100Plus 2022.

MAKAF juga baru-baru ini menjadi menerusi Penilaian Penarafan Bintang 2022 oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Penarafan bintang yang diadakan dua tahun sekali itu bertujuan melihat sejauh mana pencapaian badan sukan kebangsaan dalam aspek tadbir urus selaras keperluan Akta Pembangunan Sukan 1997 di samping menjadi rujukan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia dalam aspek pembangunan sukan.

“Untuk tahun ini kita merasakan sememangnya MAKAF sekali lagi layak untuk menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan pencapaian atlet serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik.

“Di samping itu juga, atlet-atlet karate tidak pernah menghampakan kem sukan negara dengan pencapaian yang membanggakan,” kata Hazreen.

MAKAF pernah menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Anugerah SAM-100Plus 2014.

Sejak kepimpinan terdahulu seperti Dr Leong Kwok Onn, Datuk Tan Tiong Hong, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Datuk Henry Chin, Datuk Zulkifli Mat Nor, Tun Mohd Ali Rustam sehingga kepimpinan sekarang Datuk Nur Azmi Ahmad, MAKAF terus melebarkan sayapnya.

Lebih membanggakan Tun Mohd Ali Rustam yang ketika itu menjawat jawatan Presiden MAKAF turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) bagi penggal 2022-2026 ketika Kongres WKF di Konya, Turkiye, Oktober tahun lepas.

Selain atletnya meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan baik di rantau Asia mahupun peringkat dunia, MAKAF turut mempamerkan kredibilitinya dalam menganjurkan klinik kejurulatihan dan juga program pencarian bakat.

Kem karate mencipta reputasi tersendiri selepas muncul sebagai antara 'lubuk emas' buat kontinjen negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Membuka kempen di Kampus Ban Yang Noi tiga pingat emas diperoleh skuad negara pada hari pertama menerusi acara kata berpasukan lelaki, C. Shahmalarani (kumite wanita bawah 50 kilogram) dan P Madhuri (kumite wanita -55kg).

Bersambung hari kedua, kem karate negara menambah tiga lagi pingat emas menerusi Siti Nur Azwani Nor Azli (kumite wanita -61kg), H. Sureeya Sankar (kumite lelaki -67kg) dan A. Denisroy (kumite lelaki atas 84kg).

Pencapaian itu cukup untuk memperbaiki pencapaian edisi 2018 di Myanmar yang menyaksikan kem karate ketika itu membawa pulang empat pingat emas, tiga perak dan empat pingat gangsa.

Pada temasya Sukan SEA Vietnam, skuad karate menamatkan kempen dengan empat emas dan enam gangsa dengan petanda positif ditunjukkan dalam acara kumite yang dibarisi atlet senior dan juga muka baharu.

Muka baharu seperti Sureeya dan Shahmalarani melakar penampilan sulung membanggakan apabila mengungguli kategori bawah 67 kilogram (kg) lelaki dan kategori bawah 50kg wanita.

Atlet berpengalaman yang baru pulih daripada pembedahan lutut, R. Sharmendran menghadiahkan emas ketiga menerusi acara bawah 75kg lelaki.

Pasukan kumite lelaki yang dibarisi Sharmendran, Sureeya, S. Prem Kumar, S. Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab Malik, V. Kueggan dan G. Katish menghadiahkan emas ke-36 buat negara apabila menewaskan Indonesia 3-0 di final.

Lebih bermakna, bukan sahaja menghadiahkan pingat emas ke-36 kepada kontinjen negara malah skuad karate turut menamatkan kemarau 29 tahun kilauan emas dalam acara kumite berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA.

Pada majlis Anugerah SAM-100Plus 2022, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik, turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2022, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori;– Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 beserta trofi.

Untuk edisi kali ini, SAM memperkenalkan Anugerah Pengulas Sukan Popular dengan enam calon telah dikenal pasti hasil perbincangan bersama dengan pihak berkaitan dan pemenang akan ditentukan menerusi undian orang ramai.

Comments

Popular posts from this blog

Pelepasan cukai tambahan untuk pembelian alatan sukan, sewaan fasiliti sukan antara cadangan untuk Bajet 2024

Papa win, papa win.

From 'Mr P' to 'Kemelut Dalaman BAM': Four chapters of 'mesej Whatsapp layang'